LIPIS: Seorang bapa kepada enam anak ditahan polis selepas disyaki memiliki 25 butir peluru hidup serta dadah jenis ganja dan pil yaba dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mentara Baru di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 6.10 pagi oleh sepasukan 10 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.
“Hasil pemeriksaan menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan dedaun kering mampat disyaki ganja seberat 31 gram. Turut ditemukan satu lagi paket mengandungi tujuh biji pil berwarna kemerahan bertanda huruf ‘WY’ dipercayai pil yaba dengan anggaran berat 1.10 gram,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Lipis, di sini hari ini.
Menurut Ismail, polis juga menemukan 25 butir peluru hidup senapang patah 12 bore dalam pelbagai warna yang disimpan di dalam rumah berkenaan.
“Turut dirampas ialah sembilan peluru hijau, tujuh merah, dua biru, enam putih dan satu berwarna coklat. Anggaran nilai rampasan dadah adalah kira-kira RM170,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu mendakwa menagih ganja dan pil yaba sejak lima tahun lalu dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki amunisi (peluru hidup) dan Seksyen 39A(1) serta 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja dan pil yaba,” katanya. – UTUSAN










