KLANG: Kenderaan milik penghuni Pangsapuri Taman Seri Andalas dikompaun Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sehingga mencecah RM54,000 kerana didakwa menghalang lalu lintas dan meletakkan kenderaan berganda di kawasan tersebut.
Pengarah Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk lain di kawasan berhampiran berhubung sikap penghuni pangsapuri tersebut.
Namun, katanya, pemilik kenderaan yang dikenakan kompaun terkumpul hingga berjumlah RM30,000 hingga RM54,000 boleh membuat rayuan kepada MBDK.
“Kalau merasakan jumlah saman RM30,000 itu banyak, buatlah rayuan kepada MBDK untuk dijelaskan. Kita pun ada kempen pengurangan setiap saman parkir sebanyak RM15 setiap satu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan hampir 1,000 penduduk di pangsapuri tersebut tertekan apabila terpaksa berdepan kompaun parkir terkumpul antara RM30,000 hingga RM54,000 akibat masalah kekurangan tempat letak kereta di kediaman mereka.
Kompaun dikenakan oleh MBDK kepada mereka apabila didapati meletakkan kenderaan di luar kawasan atau petak yang dibenarkan.
Norfiza berkata, penduduk yang menerima saman tersebut mengadu kawasan tempat letak kereta yang tidak mencukupi menjadi punca mereka meletakkan kenderaan di kawasan parkir berbayar hingga kerap dikenakan kompaun.
Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji kemungkinan mengenakan caj parkir yang bersesuaian khusus bagi penduduk di kawasan komersial pangsapuri tersebut.
“Kita akan meneliti caj tempat letak kereta yang bersesuaian bagi penduduk asal. Bagi orang luar yang datang membeli-belah pula kita akan mengenakan caj parkir pada kadar yang ditetapkan
“Harus diingat, kawasan parkir itu milik awam dan bukannya milik sesiapa pun. Jika dikompaun bayarlah awal, kerana dalam masa 24 jam kompaun dikenakan hanya RM10,” ujarnya.










