Bantuan SARA RM100 mula disalurkan melalui MyKad hari ini

Bantuan SARA RM100 mula disalurkan melalui MyKad hari ini

SARA sebanyak RM100 secara sekali beri melalui MyKad mula disalurkan hari ini dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga seluruh negara. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri melalui MyKad mula disalurkan hari ini dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga seluruh negara termasuk program Jualan Rahmah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu pada 23 Julai lalu berkata, bantuan ini diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas untuk pembelian barangan asas mengikut 14 kategori produk terpilih.

Katanya, pemberian itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 sebagai ikhtiar segera meringankan beban sara hidup rakyat, selain tanda penghargaan kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Bantuan ini memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion,” katanya.

Untuk tahun ini, jumlah keseluruhan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion yang menjadikannya kali pertama dalam sejarah bantuan tunai diagihkan kepada semua rakyat dewasa.

Anwar berkata, bantuan itu boleh digunakan di rangkaian pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di seluruh daerah.

“Bantuan ini diberikan secara individu, bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah yang terdiri daripada suami, isteri dan dua anak dewasa akan menerima RM400,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun kadar inflasi keseluruhan pada Jun lalu mencatatkan paras terendah dalam tempoh 52 bulan iaitu 1.1 peratus, kenaikan harga makanan dan minuman masih melebihi purata inflasi dan memberi tekanan kepada rakyat.

“Kos sara hidup kekal sebagai cabaran yang mesti ditangani dengan segera dan penuh kebijaksanaan. Mungkin ada sebahagian rakyat mempunyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini.

“Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun dapat diagihkan semula bagi program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN