Bagai hidup semula, Dharma Harun seronok dapat berlakon kembali - Utusan Malaysia

Bagai hidup semula, Dharma Harun seronok dapat berlakon kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Perasaan saya seperti Mokhtar Dahari yang dapat beraksi kembali di padang bola.”

Demikian kata pelakon veteran, Dharma Harun yang teruja dapat kembali beraksi di hadapan kaca televisyen setelah sekian lama menyepi.

Menurut Dharma, dirinya juga bagai hidup semula selepas dapat berga kembali dengan pasukan produksi di lokasi penggambaran.

“Saya berasa sangat seronok bahkan gembira apabila diberi peluang kembali berlakon, rasa seperti bernadi semula.

“Melihat artis dan kru membuatkan saya teringat masa muda. Saya rasa hidup semula dan seronok dapat sertai mereka,” katanya ketika ditemui di set penggambaran telefilem Ayah di Pusat Jagaan Harian Warga Tua, pada Isnin.

Tambah Dharma, langkahnya memasuki lokasi penggambaran mengingatkannya kembali pada zaman kegemilangannya lebih 40 tahun lalu.

Meskipun sudah lama tidak beraksi di layar, pelakon berusia 69 tahun itu mengakui ingatannya masih kukuh untuk menghafal dan melontarkan dialog seperti suatu ketika dahulu.

“Beberapa tahun lalu, saya aktif sebagai seorang penerbit. Saya ada anjurkan satu program menaik taraf surau secara percuma, semua itu membuat saya gembira.

“Sekarang walaupun saya tidak mengarah tetapi saya gembira berlakon balik. Meskipun usia saya sudah mencecah 70 tahun, saya masih lagi dapat menghafal skrip seperti sebelum ini.

“Namun, apa yang membezakan kini adalah masalah kesihatan yang dialami saya. Pergerakan saya mungkin terbatas tetapi mujur Datuk A. Aida membenarkan saya untuk berlakon sambil duduk,” kongsinya.

Dalam pada itu, pelakon filem Adik Manja Returns itu sempat menzahirkan ucapan penghargaan kepada penerbit tersohor tersebut kerana sudi mengambilnya untuk membintangi naskhah terbabit.

“Saya nak ucapkan berjuta-juta terima kasih pada Datuk A. Aida. Cerita ini asalnya pasal seorang ibu, tapi bila dia tahu keadaan saya, dia tukar watak itu jadi bapa.

“Saya amat terharu dan buat sehabis baik untuk watak tersebut,” luahnya.

Terdahulu, kesihatan Dharma menjadi perhatian apabila berat badannya menurun sehingga 45 kilogram akibat masalah kesihatan dan ketiadaan tawaran lakonan sejak sekian lama.

Dalam perkembangan lain, Dharma bakal muncul dalam telefilem berjudul Ayah arahan Zul Huzaimy yang turut dibintangi Aniq Suhair, Azeva Natassha, dan Ezzaty Abdullah pada 18 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN