AS hargai Malaysia, selesai konflik Thailand-Kemboja

AS hargai Malaysia, selesai konflik Thailand-Kemboja

EDGARD D. KAGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN amat penting dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, ia merupakan satu kejayaan dalam penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa hari ini yang membuktikan kepimpinan Malaysia dalam mempertemukan pihak-pihak terlibat.

“Ini adalah satu lagi contoh peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempertemukan pihak-pihak yang terlibat.

“Semua pihak amat menghargai kepimpinan Malaysia, termasuk penglibatan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat tertinggi serta usaha gigih Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.

“Pasukan tentera Malaysia yang telah bekerjasama erat dengan rakan sejawatan dari Thailand dan Kemboja untuk mencapai persetujuan ini,” katanya selepas Mesyuarat GBC Luar Biasa yang berlangsung di Wisma Perwira di sini.

Kagan memberi jaminan bahawa AS akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk memastikan ASEAN memainkan peranan efektif dalam menyatukan dua negara anggota itu.

Beliau berkata, meskipun persetujuan gencatan senjata merupakan langkah yang signifikan, ia hanyalah permulaan kepada proses lebih panjang.

Katanya, matlamat utama adalah untuk mencapai gencatan senjata yang mampan dan berkekalan, diterima dan dikuatkuasakan oleh kedua-dua pihak.

“Mekanisme yang sedang dilaksanakan ketika ini diyakini penting bagi memastikan proses pemantauan berjalan dengan lancar, telus dan berkesan.

“Lebih penting, kami percaya bahawa apa yang telah berlaku menunjukkan kedua-dua kerajaan benar-benar berkomitmen dan AS akan memantau dengan teliti agar komitmen ini terus dikekalkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN