Artis jadi sasaran mudah – Nora Danish - Utusan Malaysia

Artis jadi sasaran mudah – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi perhatian khalayak pada kebanyakan masa, pelakon dan selebriti berpengaruh tanah air, Nora Danish, tidak menafikan bahawa golongan artis adalah antara sasaran mudah pelbagai pihak terutama warganet yang melakukan tindakan buli siber.

Terdedah kepada cercaan terbuka dan kritikan yang adakalanya tidak kena pada cara manusiawi, artis dan selebriti bagi sesetengah warganet, kononnya perlu menerima keadaan itu hanya kerana mereka orang yang dikenali.

Mengaitkan dengan isu buli yang semakin menjadi-jadi pada ketika ini, Nora u meluahkan pandangan mengenainya sebagai seorang individu.

Mengimbas pengalaman sendiri, Nora, 44, mengakui pernah menjadi sasaran buli siber namun memilih untuk tidak mengambil hati lantaran mengenangkan kerjaya ini telah menjadi pilihannya.

“Memangnya, menjadi anak-anak seni ini memang tak boleh lari daripada menjadi mangsa buli. Tapi saya dah lali, sudah biasa.

“Saya sudah melalui zaman blog dan forum, yang mana di situ pun banyak kecaman dan cemuhan. jadi sekarang saya tak ambil peduli sangat.

“Tetapi menerusi apa yang terjadi kepada rakan-rakan artis kita baru-baru ini, saya bersimpati dengan apa yang mereka lalui.

“Saya faham perasaan itu berat, sebab pernah kena. Tetapi apa pun, sebab itulah kita semua kena saling beri sokongan,”katanya.

Menurut Nora, dia juga bersetuju dengan tindakan rakan artis yang berani bertindak dengan membuat laporan polis terhadap isu buli siber yang mereka hadapi.

Katanya, ia sebagai satu langkah terbaik dalam menangani dan memberi pengajaran kepada mereka yang membuli.

“Mungkin itu jalan terbaik supaya kita dapat lihat ada tindakan. Bukan untuk menakutkan orang tetapi supaya ada kesedaran mengenai isu ini. Rasanya di sekolah-sekolah pun sudah sepatutnya menerapkan kesedaran mengenai isu buli ini, mulakan dari awal.

“Didik anak-anak kita tentang anti-buli dan empati. Supaya kita ada sifat belas kasihan, sifat kasih sayang dan takut. Kita tak mahu sifat dan nilai ini dah tak ada dalam diri, betul tak?”katanya.

Selain itu, Nora berkata, warganet juga harus memainkan peranan untuk tidak mudah menghukum atau melakukan perkara seperti buli hanya kerana menganggap golongan artis mampu menjadi kalis kecaman.

“Walaupun menjadi anak seni bermakna perlu ‘menghadapi’ realiti dunia hiburan, termasuk kritikan dan provokasi media sosial, namun, saya harap warganet berpada-padalah ketika memberi komen.

“Jangan anggap artis sasaran mudah untuk dihina. Bercakaplah dengan bahasa yang baik. Kalau tak ada perkara baik nak dikatakan, lebih baik tak perlu cakap apa-apa,” katanya.

TERKESAN ISU BULI
Dalam pada itu, melihat kepada isu buli yang turut berlaku di sekolah dan melibatkan golongan pelajar, Nora berkata, sebagai seorang ibu, dia juga terkesan dengan paparan berita setiap hari mengenai isu ini.

Menurutnya, isu ini sangat memberi kesan peribadi kerana dia sendiri memahami perasaan ibu bapa yang mahu anak-anak mereka berada dalam persekitaran sekolah yang selamat.

Merujuk kepada kes buli Allahyarham Zara Qairina, Nora menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan telus dan menyeluruh agar keluarga mangsa mendapat keadilan serta jawapan yang mereka perlukan.

“Saya berharap kita semua dapat bersatu untuk mendapatkan keadilan. Yang paling penting, kita mahu anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang selamat, kerana ini adalah negara kita.

“Pihak sekolah perlu lebih menitikberat­kan aspek keselamatan dan pemantauan yang berterusan. Selain itu, perlu ada saluran aduan yang membolehkan anak-anak meluahkan masalah seperti buli tanpa rasa takut.

“Buat masa ini, anak saya tidak mengalami masalah buli. Namun, setiap kali dia pulang ke rumah, saya atau neneknya akan bertanya keadaan di sekolah. Saya pastikan dia faham bahawa apa itu buli, walaupun sedikit, bukan sesuatu yang normal dan tidak boleh diterima,”katanya.

AMBER
Dalam pada itu, mengajaknya berbicara mengenai kerjasama dengan Amber, pelakon ini mengakui terlibat dengan projek bidang seni, fesyen dan penggayaan.

Malah kata Nora, dia juga tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd,Datuk Adzliana Hasan, berikutan keserasian cara kerja.

“Saya memang menitikberatkan keserasian dalam bekerja. Saya suka cara beliau bekerja kerana banyak memberi inspirasi terutama untuk koleksi terbaharu bertema Somewhere, Somehow, Someone ini,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN