CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) menggesa agar kajian cadangan pembinaan landasan kereta api di Tanah Tinggi Cameron Highlands dihentikan kerana dikhuatiri memberi kesan negatif alam sekitar.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, pihaknya difahamkan kajian itu melibatkan cadangan pelan pembinaan laluan tersebut antara Blue Valley ke Ringlet di sini sejak beberapa bulan lalu.
“Cameron Highlands tidak memerlukan sistem kereta api dan projek sedemikian boleh menimbulkan ancaman serius terhadap kelestarian alam sekitar.
“Walaupun projek itu masih di peringkat kajian, Reach berpendirian bahawa kajian tersebut sendiri tidak sepatutnya diteruskan.
“Apa yang jauh lebih mendesak ialah masalah kesesakan trafik sedia ada khususnya di Kea Farm yang masih belum diselesaikan sehingga kini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut Dilin Martin, pihak berkuasa wajar memberi tumpuan menyediakan tempat meletak kenderaan mencukupi kepada pelancong bagi mengatasi kesesakan trafik teruk.
Katanya, pembinaan laluan kereta api di tanah tinggi itu tidak munasabah dan merugikan daripada sudut ekonomi dan praktikal kerana laluan tersebut hanya digunakan semasa musim cuti manakala pada hari biasa tidak dimanfaatkan.
“Ini merupakan pembaziran dana awam yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar rakyat,” katanya.
Dilip Martin berkata, setiap projek dicadangkan mesti mengambil kira pandangan, pengalaman dan suara penduduk Cameron Highlands bukan dibuat secara sepihak.
Katanya, pihaknya menyeru pihak terlibat dalam kajian projek itu agar turun padang, melihat dan merasai sendiri realiti sebenar serta mendengar suara penduduk tempatan, bukan hanya bergantung kepada maklumat daripada bukan penduduk di sini.
“Reach tidak menolak pembangunan namun, pembangunan mestilah berhemah, mampan, mematuhi Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 (RTDCH 2030), menjaga alam sekitar dan mengambil kira pandangan masyarakat tempatan.
“Hentikan pembangunan yang tidak perlu, selesaikan masalah sedia ada terlebih dahulu dan pelihara Cameron Highlands untuk generasi akan datang,” katanya.










