Ancaman keladi agas dikhuatiri jejas pengeluaran padi

Ancaman keladi agas dikhuatiri jejas pengeluaran padi

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Ancaman keladi agas yang membiak dengan mudah di sawah padi ketika ini dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan padi sekali gus memberi kesan terhadap pengeluaran hasil negara.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memohon Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjalankan kajian menyeluruh bagi menangani isu terbabit.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam hal ini, kaedah sesuai bagi mengawal pembiakan rumpai tersebut perlu dicari dengan segera.

Katanya, meskipun masalah itu berlaku kepada pesawah di seluruh negara, namun, kawasan yang paling terjejas ialah di Seberang Perai Utara (SPU) dan Kedah, yang kini baru menghadapi pembiakan keladi agas.

“Keladi agas memang merupakan tumbuhan yang lazim ditemui di kawasan sawah padi, tetapi, masalahnya kini ialah, ia merebak dengan begitu cepat sehingga menjejaskan pertumbuhan padi. 

“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja, rumpai itu boleh memenuhi sawah dan menghalang padi daripada membesar. Jadi, sebab itulah saya minta pihak MARDI untuk membuat kajian supaya kita dapat cari kaedah penyelesaian agar padi yang ditanam dapat tumbuh dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MR 333 yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr. Azman Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol di Kampung Lahar Minyak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, ketika ini, sudah ada prosedur operasi standard atau SOP yang ditetapkan untuk mengawal permasalahan tersebut.

“Antaranya ialah penyediaan tanah dengan semburan awal serta menanam semula (padi) menggunakan sistem pelantar untuk mengurangkan pertumbuhan rumpai secara semula jadi.

“Selain bergantung kepada racun, kaedah penanaman semula secara sistem pelantar juga dapat membantu mengawal pertumbuhan rumpai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN