PERPINDAHAN ke sebuah pulau yang indah di Siargao, Filipina merupakan antara keputusan paling tepat dalam hidup pelakon Ben Amir.
Perkongsian di media sosial menunjukkan aktor itu gembira dan bahagia menjalani kehidupan baharunya di pulau yang didiami sekitar 161,000 penduduk itu.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini bagaimanapun tidak menafikan sebagai orang asing, dia juga berdepan pelbagai cabaran untuk membina kehidupan yang diinginkannya di situ.
Katanya, perpindahan ke pulau itu bukan sahaja menghadirkan pengalaman manis, malah kesukaran kerana bukan mudah memulakan kehidupan di negara asing.
“Orang sangka berpindah ke luar negara ini seronok, apatah lagi tinggal di pulau yang cantik. Saya tidak nafikan memang seronok, tapi harus diingat, tinggal di tempat orang ini ada cabarannya.
“Bayangkan, anda berpindah ke tempat asing, terpaksa bermula kosong. Anda berani atau tidak membuat keputusan seperti itu?
“Tak ada seorang pun anda kenal di sana. Kalau perkara buruk berlaku kepada diri anda, siapa yang akan bantu?
“Tapi sebagai anak jantan, saya menolak hidup terlalu selesa. Kena ambil risiko, keluar meneroka dunia. Saya tak mahulah terperap di rumah sahaja,” ujarnya.
Ben berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui selepas malam gala filem Legasi Bomba The Movie, baru-baru ini.
Sebelum ini Ben memaklumkan dia mula berpindah ke pulau tersebut sekitar Mac tahun ini untuk memulakan kehidupan baharu di sana.
Katanya, buat masa ini, dia terpaksa berulang alik dari Filipina ke Malaysia sekiranya menerima tawaran berlakon di tanah air.
“Saya memang merancang untuk berlakon Filipina. Malah, saya sudah mula hubungi beberapa agensi pengurusan bakat di sana. Ada yang berminat dan mahu berjumpa saya.
“Saya sedar yang saya ini perlu kuasai bahasa tempatan terlebih dahulu sebelum merancang perjalanan karier lakonan saya di tempat orang.
“Dan proses itu mengambil masa. Jadi sebelum kuasai sepenuhnya bahasa Tagalog, mungkin saya bermula dahulu dengan kerja lakonan iklan tanpa dialog. Tetapi itu bukan keutamaan.
“Sekarang saya mahu tumpukan kepada perniagaan yang telah saya mulakan di sana. Lakonan masih saya fokuskan di Malaysia,” kongsinya.
LEGASI: BOMBA THE MOVIE
Aktor berusia 35 tahun ini tidak mengambil masa lama dalam memberikan persetujuan untuk terlibat menjayakan filem keperwiraan ini.
Malah, Ben tidak mensia-siakan peluang menggalas peranan penting dalam filem itu demi memberi penghormatan atas pengorbanan setiap anggota bomba di negara ini.
“Persepsi kami (pelakon) mengenai tugas anggota bomba berubah selepas mengikuti latihan fizikal di Wakaf Tapai, Terengganu. Barulah kami tahu betapa mencabarnya tanggungjawab yang dipikul anggota badan beruniform ini.
“Dan kami ini cuma berlakon sahaja. Bayangkan kerja anggota bomba sebenar yang tidak boleh langsung melakukan kesilapan ketika melakukan operasi menyelamat dan memadam kebakaran,” katanya.
Bercerita lanjut, Ben juga sempat berkongsi pengalaman menjalani latihan intensif selama dua bulan sebagai persediaan sebelum memulakan penggambaran filem yang diarahkan sutradara James Lee dan Frank See itu.
“Antara latihan yang paling sukar adalah apabila kami dikehendaki merangkak dalam kotak kecil yang gelap dan berasap sambil lengkap menyarungkan sut pelindung.
“Keadaan itu menakutkan dan mencabar mental. Ibaratnya berada dalam keadaan sebenar ketika terperangkap dalam banggunan yang dijilat api,” kongsinya.-UTUSAN