Penduduk dakwa projek kereta api laju punca banjir kilat di Kampung Bintang

Penduduk dakwa projek kereta api laju punca banjir kilat di Kampung Bintang

PENDUDUK Kampung Bintang melakukan demonstrasi meminta diatasi masalah banjir kilat yang didakwa erpunca daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). -UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Lebih 50 keluarga di Kampung Bintang, di sini terjejas akibat kejadian banjir kilat yang didakwa berpunca daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kampung tersebut.

Seorang penduduk, Che Manaf Mamat, 42, berkata, kawasan kampung itu tidak pernah banjir namun sejak 2022 banjir kilat sering melanda jika hujan lebat dalam tempoh beberapa jam.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dan menyebabkan saya tidak lena tidur kerana takut banjir secara tiba-tiba, tambahan rumah saya terletak berhampiran dengan sungai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, banjir tersebut juga dikatakan berlaku apabila sistem aliran air yang tidak sempurna dan tidak mampu menampung peningkatan air ketika hujan lebat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Bintang, Ramli Zakaria berkata, projek ECRL bukan hanya melibatkan banjir kilat malah menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila dua buah kampung menggunakan satu laluan ke jalan utama.

“Sebelum ini setiap kampung mempunyai laluan masing-masing namun selepas projek ECRL ini berlangsung, laluan dilencongkan sejauh 1.2 kilometer dan laluan sebelum ini telah ditutup serta ditambak tanah.

“Kita harap pihak berkaitan mengambil tindakan segera dan sebaiknya satu terowong pintar diwujudkan sebagai inisiatif menyelesaikan semua masalah melibatkan orang kampung,” katanya.

Wakil syarikat guaman, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah oleh penduduk kampung untuk tindakan undang-undang.

“Penduduk kampung sebagai plaintif telah menfailkan saman dan penyataan tuntutan kepada pihak berkaitan yang mana ia melibatkan enam tuntutan.

“Antaranya pengisytiharan bahawa defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga keselamatan penduduk dan pengisytiharan bahawa kerja-kerja pembinaan ECRL telah dilakukan secara cuai sehingga menyebabkan banjir dan kerugian,” katanya.

Katanya, saman dan penyataan tuntutan itu difailkan pada 31 Oktober lepas dan sebutan semula dijangka pada 21 Januari ini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN