Alzafny azam laksana tugas Ketua Polis Negeri Sembilan penuh kredibiliti

Alzafny azam laksana tugas Ketua Polis Negeri Sembilan penuh kredibiliti

RUSDI Mohd. Isa (tengah) menyaksikan serah tugas antara Ahmad Dzaffir (kiri) dan Alzafny di IPK Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Alzafny Ahmad kini memikul tugas sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu. 

Alzafny 49, menggantikan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang ditukar ke Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) selepas hampir tiga tahun berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Alzafny ketika ditemui memberitahu beliau mahu menjalankan tugas baharunya itu bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta meneruskan kepimpinan terdahulu dengan penuh kredibiliti.

“Ini merupakan tugas dan tanggungjawab yang sangat berat sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan ke-53. Saya akan pikul amanah ini sebaik mungkin dalam memastikan hala tuju, misi dan visi pasukan ini selaras dengan keperluan serta kehendak yang digariskan kerajaan serta masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negeri Sembilan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Negeri Sembilan di IPK Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat keberkesanan tugasan dan penyampaian perkhidmatan.

“Kita perlu bergerak setara dengan kecanggihan teknologi, memantapkan gerak kerja berasaskan teknologi dan AI, serta memastikan tahap profesionalisme memenuhi kehendak masyarakat dan juga selari dengan kehendak kerajaan,”katanya. 

Alzafny juga memberi penekanan terhadap aspek integriti dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM bagi memastikan persepsi masyarakat terhadap pasukan sentiasa positif.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan kebajikan pegawai dan anggota juga akan menjadi keutamaannya, termasuk isu-isu kewangan peribadi yang boleh menjejaskan prestasi perkhidmatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN