MERSING: Tumpang mengecas telefon bimbit hingga tertidur. Itu alasan seorang lelaki ketika dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi di sebuah hotel di sini, awal pagi ini.
Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 1 pagi itu, pasangan berusia 19 dan 26 tahun itu ditahan selepas didapati berdua-duaan dalam bilik hotel berkenaan tanpa mempunyai ikatan yang sah..
Jurucakap JAINJ berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di hotel berkenaan.
“Sebaik pintu bilik dibuka oleh wanita berkenaan yang berpakaian t-shirt dan seluar panjang tanpa tudung, anggota penguatkuasa mendapati seorang lelaki hanya berseluar pendek tanpa berbaju, sedang tidur di atas katil.
“Lelaki tersebut tidak menyedari kehadiran penguatkuasa dan terpaksa dikejutkan beberapa kali sebelum diminta membasuh muka bagi memastikan dia benar-benar sedar,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kedua-duanya masih bujang dan bekerja di kedai sama.
Katanya, mereka mendakwa, pulang lewat pada malam kejadian kerana premis dikunjungi ramai pelanggan dan memilih menginap di hotel dengan alasan rumah jauh selain cuaca hujan renyai.
“Lelaki berkenaan mendakwa datang ke bilik wanita tersebut untuk menumpang mengecas telefon bimbit yang kehabisan bateri selepas digunakan terlalu lama bermain aplikasi TikTok. Dia kemudian tertidur sementara menunggu bateri penuh,” katanya.
Katanya, pasangan terbabit dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.










