JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan yang mengalami pendarahan dalam kepala setelah tempurung kepalanya retak dipercayai akibat ditolak rakan di sekolah, selamat menjalani pembedahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, pembedahan yang dibuat pada Selasa lalu itu berlangsung selama tujuh jam.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut ketika ini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
“Kanak-kanak ini dilaporkan terjatuh di tapak perhimpunan sekolah, Isnin lalu. Difahamkan kejadian berlaku pada pukul 6.45 petang ketika murid menemani ibunya yang sedang membuat persiapan pentas untuk Program Sambutan Hari Lahir Peringkat Sekolah.
“Ketika bermain bersama rakan sebaya, kanak-kanak ini telah terjatuh. Keadaan kelihatan normal tanpa kecederaan luaran sehingga malam, namun sekitar pukul 2 pagi keesokannya dia didapati tidak sedarkan diri.
“Dia kemudian dibawa ke Hospital Mersing, sebelum dihantar ke HSA dan telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan pendarahan yang berlaku tersebut,” katanya selepas melawat ibu kepada kanak-kanak berkenaan, di sini.
Tambah Khairin-Nisa, pihaknya berharap kanak-kanak itu akan kembali sembuh serta ahli keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian tersebut.










