KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam keselamatan siber bersifat dua hala iaitu berperanan memperkukuh pertahanan digital, namun pada masa sama terdedah kepada risiko ancaman teknologi baharu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, AI membantu mengenal pasti ancaman dengan pantas, menganalisis pola rumit serta memberi amaran awal sebelum insiden berlaku.
Katanya, bagaimanapun, teknologi sama juga boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“AI mampu meningkatkan tahap keselamatan siber, namun ia juga boleh dijadikan senjata serangan termasuk melalui ancaman deepfake dan automated malware.Inilah realiti yang dihadapi semua negara, termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, kata Gobind, kerajaan kini memuktamadkan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan yang menetapkan rangka tadbir urus jelas berasaskan tiga prinsip utama.
Katanya, ia termasuk ketelusan dan akauntabiliti, privasi serta keselamatan secara reka bentuk, selain kawalan manusia dalam penggunaan AI.
“Prinsip ini memastikan data peribadi rakyat dilindungi sejak peringkat awal pembangunan sistem, sementara kawalan manusia pula mengelakkan kesilapan kritikal, diskriminasi atau bias dalam aplikasi AI,” katanya.
Pada masa sama, Malaysia turut menyokong Prinsip Tadbir Urus dan Etika AI ASEAN serta menerajui penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN ketika memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, bagi memastikan penggunaan teknologi itu dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan selaras di peringkat serantau. – UTUSAN










