KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Bahagian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan tertuduh telah membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta.
Katanya, tawaran kompaun itu dibuat berdasarkan representasi yang dikemukakan tertuduh.
Farah Yasmin berkata, kompaun itu dibayar mengikut peruntukan Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Tertuduh dalam kes ini sudah membuat pembayaran kompaun sebanyak RM4.1 juta pada Isnin lalu,” katanya dalam sebutan kes berhubung status representasi itu.
Sebelum ini, Adam Radlan, 44, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan rasuah, Adam Radlan didakwa meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.
Ahli perniagaan itu juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Adam Radlan didakwa atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000.
Beliau juga didakwa atas enam pertuduhan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.675 juta dari akaun syarikat tersebut kepada akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan tiga individu lain antaranya Nabilah Mahiaddin dan Ameer Azlan Mohd. Ayob.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










