98 pelawat asing warga Bangladesh diberi NTL - Utusan Malaysia

98 pelawat asing warga Bangladesh diberi NTL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 98 pelawat asing warga Bangladesh didapati diberi Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan soal siasat terhadap 181 pelawat asing bermula pukul 1 pagi hingga 7.30 pagi.

“Susulan itu, seramai 98 pelawat asing warga Bangladesh didapati gagal mematuhi syarat kemasukan dan diberi NTL dengan sebahagian daripada mereka dikesan sebaik sahaja mendarat menerusi penerbangan dari Dhaka pada awal pagi tadi.

“Ketibaan melalui penerbangan pada lewat malam atau awal pagi dipercayai bagi mengelak pemeriksaan berterusan oleh AKPS pada waktu siang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPS berkata, punca penolakan kemasukan berkenaan adalah penggunaan tempahan hotel palsu, ketiadaan tiket pulang, serta kegagalan membuktikan kemampuan kewangan.

Jelasnya, kesemua mereka dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah.

AKPS turut menegaskan kawalan pintu masuk akan terus diperketat, operasi pemantauan diperkukuh dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak.

“Ia termasuk anggota yang bersubahat membawa masuk warga asing secara tidak sah.

“AKPS KLIA akan terus mengesan, menahan, dan menghantar pulang pelawat asing yang tidak layak memasuki negara demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN