Gerakan sasar bertanding empat kerusi DUN Negeri Sembilan

Gerakan sasar bertanding empat kerusi DUN Negeri Sembilan

DOMINIC Lau Hoe Chai (tengah) bergambar bersama ahli Majlis Tertinggi Parti Gerakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (Majlis Tertinggi) Gerakan di Wisma Gerakan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.- UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyasarkan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 tidak lama lagi.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, cadangan itu dikemukakan oleh kepimpinan Gerakan Negeri Sembilan selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan jentera dan peluang bagi memperoleh kemenangan.

Menurutnya, bagaimanapun keputusan muktamad berhubung agihan kerusi masih tertakluk kepada rundingan di peringkat Perikatan Nasional (PN).

“Gerakan Negeri Sembilan telah mencadangkan untuk bertanding di empat kerusi DUN. Hasrat kami jelas, tidak mahu bertanding banyak kerusi tetapi akhirnya kalah.

“Kami mahu bertanding di kerusi yang benar-benar mempunyai peluang untuk menang. Sebab itu kami fokus kepada kemenangan bukan sekadar jumlah kerusi yang ditandingi,” katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (Majlis Tertinggi) Gerakan di Wisma Gerakan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Dominic Lau berkata, daripada empat kerusi yang dicadangkan, Gerakan memberi tumpuan khusus kepada DUN Repah dan DUN Temiang berdasarkan kekuatan jentera parti serta persiapan yang telah dilakukan.

Namun, dua lagi kerusi yang dicadangkan akan dibincangkan dalam rundingan bersama kepimpinan PN sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Kami mempunyai sumber yang terhad, jadi kami perlu memilih kerusi yang mempunyai persediaan lebih lengkap.

“Di Repah dan Temiang, jentera, bilik gerakan, keahlian serta aktiviti parti lebih tersusun dan aktif. Kami juga melihat penerimaan pengundi terhadap Gerakan di kawasan tersebut adalah lebih baik,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Gerakan juga akan menumpukan usaha meraih sokongan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, budaya atau peringkat umur, selaras dengan prinsip parti yang bersifat pelbagai kaum.

“Kami tidak boleh bergantung kepada satu kaum atau golongan tertentu sahaja. Asalkan mereka pengundi, kita akan mendapatkan sokongan dan mandat daripada semua lapisan masyarakat.

“Gerakan ialah parti politik bukan berasaskan kaum. Kita mempunyai orang Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai latar belakang agama dan budaya. Sebab itu kita yakin mampu mendekati semua pengundi,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN