PUTRAJAYA: Lebih 90 kelab pacuan empat roda ‘berkampung’ di tapak helipadz Presint 6, di sini bagi memeriahkan acara Peninsular Safari Challenge (PSC) & Truck Fiesta Putrajaya 2025.
Program bermula sejak Jumaat dan berakhir hari ini itu turut menghimpunkan komuniti kenderaan 4×4, campervan dan peminat perkhemahan.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar.
Sementara itu, Presiden MFWDA, Mohd Khairol Nizam Mohd Ibrahim Khan ketika ditemui berkata, pelbagai acara menarik dianjurkan termasuk perhimpunan trak, perlumbaan trak terbuka, aksi drift, pertandingan kawalan jauh, serta pengalaman memandu 4×4 ubah suai di trek ekstrem.
“Turut diadakan demonstrasi keselamatan dan kecemasan kenderaan, selain Karnival Lepak Putrajaya yang menyediakan pelbagai gerai makanan, perkhidmatan, ruang kanak-kanak dan tapak campervan untuk seisi keluarga,” katanya.
Siri pertama PSC tahun ini bermula di Kamunting, Perak pada 4 hingga 6 Julai lalu sebelum diteruskan di Merlimau, Melaka (18 hingga 20 Julai); Saujana Utama, Selangor (1 hingga 3 Ogos); Putrajaya dan siri akhir dijangka berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu pada 28 dan 29 Ogos ini. – UTUSAN










