86% cukai pendapatan individu disumbang golongan berpendapatan lebih RM100,000

86% cukai pendapatan individu disumbang golongan berpendapatan lebih RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembayar cukai individu yang memperoleh pendapatan bercukai melebihi RM100,000 setahun menyumbang 86 peratus daripada keseluruhan kutipan cukai pendapatan individu bagi tahun 2023.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada RM37.77 bilion cukai pendapatan individu yang dikutip kerajaan bagi tahun tersebut dan mewakili 22 peratus daripada keseluruhan kutipan cukai langsung sebanyak RM171.34 bilion.

“Sebanyak 20 peratus daripada kutipan cukai pendapatan individu itu juga turut disumbangkan oleh golongan berpendapatan tinggi dengan pendapatan bercukai melebihi RM1 juta setahun.

“Kerajaan amat menghargai sumbangan kumpulan ini dalam membantu meningkatkan kestabilan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah individu di Malaysia yang mempunyai kekayaan bersih melebihi RM100 juta dan daripada jumlah tersebut dan berapa ramai yang membayar cukai pendapatan melebihi RM1 juta setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan.

Tambah kementerian, data kutipan tersebut diperoleh melalui Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia, manakala data bagi tahun 2024 akan dilaporkan selepas penyata dimuktamadkan.

Mengulas bilangan individu yang memiliki kekayaan bersih melebihi RM100 juta, kementerian menjelaskan, maklumat itu tidak tersedia dalam pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hal ini kerana, jumlah kekayaan tidak terkait secara langsung dengan jumlah cukai yang dibayar, memandangkan aset seperti harta tak alih dan pelaburan tertentu tidak tertakluk kepada cukai kecuali apabila dijual atau dilupuskan.

“Kerajaan komited untuk memantau pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai berpendapatan tinggi, termasuk meneliti isu ketirisan cukai, pemilikan aset yang tidak seimbang dengan pelaporan, pendapatan luar negara yang tidak dilaporkan serta aktiviti ekonomi bayangan.

“Bagi memastikan sistem percukaian negara kekal adil dan progresif, langkah penambahbaikan juga dilakukan termasuk penggunaan teknologi digital dan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembayar cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN