38,000 graduan E&E dijangka dihasilkan dalam tempoh 2025-2030 - Utusan Malaysia

38,000 graduan E&E dijangka dihasilkan dalam tempoh 2025-2030

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dijangka seramai 38,000 graduan bakal dihasilkan dalam tempoh 2025 sehingga 2030 bagi program elektrik dan elektronik (E&E) di institut pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata,  buat masa ini, terdapat 17 universiti awam menawarkan program itu di peringkat sarjana muda sementara di peringkat institut pengajian tinggi swasta (IPTS) pula, ia ditawarkan pada dua peringkat iaitu ijazah sarjana muda di 39 buah institusi dan diploma di 15 buah IPTS.

“Langkah-langkah yang diambil ini adalah bagi memastikan bekalan tenaga kerja mahir dalam bidang ini dapat dipenuhi secara mampan dan berdaya saing, selaras dengan matlamat Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta kementerian menyatakan jumlah universiti awam dan swasta yang menyediakan program kejuruteraan E&E dan kecerdasan buatan (AI) dan jumlah graduan yang dijangka dalam 2025-2030.

Dalam pada itu, Zambry berkata, bagi program AI terdapat 11 universiti awam yang menawarkan kursus dan program yang berkaitan dengan AI pada masa ini.

Di peringkat IPTS pula, terdapat 13 buah yang menawarkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Seiring dengan aspirasi negara untuk memperkukuh daya saing industri E&E di peringkat global, kementerian telah mengambil beberapa langkah susulan yang strategik dan berimpak tinggi.

”Program-program yang sedang dilaksanakan ini merupakan intervensi strategik bagi menangani isu-isu berkaitan bakat dalam industri E&E secara menyeluruh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN