30,000 kontraktor G1 ‘sambilan’ ancam industri pembinaan

30,000 kontraktor G1 ‘sambilan’ ancam industri pembinaan

ABD. GAPAR LAMBAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kecenderungan individu tanpa latar belakang teknikal seperti jurujual, pekerja swasta, pekebun dan golongan suri rumah memperoleh lesen kontraktor G1 menimbulkan persoalan sama ada ia langkah pemerkasaan ekonomi atau ancaman kepada profesionalisme sektor pembinaan negara.

Lesen kontraktor G1 dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membolehkan pemiliknya melaksanakan projek bernilai sehingga RM200,000 apabila syarat permohonan relatif mudah dan kos pendaftaran rendah sekali gus menjadi pintu masuk kepada ramai individu untuk menceburi bidang pembinaan.

Namun kebimbangan mula timbul apabila terdapat pemilik lesen tidak aktif secara langsung dalam operasi projek, sebaliknya hanya menjadi pemegang lesen kepada pihak ketiga yang bukan sahaja menjejaskan integriti sistem pendaftaran kontraktor, malah berisiko menurunkan kualiti kerja di tapak bina.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, ketika ini terdapat lebih 30,000 kontraktor G1 ‘part time’ atau sambilan yang terdiri daripada pelbagai lapisan individu tanpa latar belakang teknikal dalam bidang pembinaan termasuk dalam kalangan suri rumah. 

“Apa membimbangkan, terdapat dalam kalangan kontraktor itu yang menjalankan projek melalui orang tengah tanpa penyeliaan teknikal yang sah, sekali gus menjejaskan integriti pelaksanaan projek infrastruktur asas.

“Situasi ini juga telah membuka ruang kepada aktiviti subkontrak tidak terkawal, yang mana pemegang lesen menyerahkan keseluruhan tanggungjawab kepada pihak ketiga tanpa pemantauan jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Abd. Gapar berkata, situasi tersebut menyebabkan wujudnya lesen digunakan oleh pihak lain atau ketiga tanpa penglibatan pemilik sebenar dan ada antaranya hanya menunggu tuah datang bergolek iaitu melalui projek cabutan undi. 

“Penyertaan suri rumah sebagai kontraktor G1 boleh menjana pendapatan sampingan namun ia akan mengakibatkan kesan yang akan menjejaskan reputasi dan kualiti sektor pembinaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan disaran memperkenal program pemerkasaan kontraktor kecil seperti bengkel teknikal, mentor-mentee dan pensijilan kemahiran asas bagi meningkatkan tahap kompetensi kepada pemegang lesen G1 baharu sebelum diberikan projek.

Katanya, industri pembinaan negara mendambakan kontraktor tulen yang bukan sahaja berdaftar, tetapi juga kompeten dan berintegriti.

“Jika dibiarkan berlarutan tanpa pemantauan, kewujudan kontraktor G1 sambilan inilah yang tidak berkelayakan boleh memberi kesan negatif kepada reputasi sistem perolehan awam negara.

“Lebih penting, ia boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap projek pembangunan kerajaan yang sepatutnya membawa manfaat secara menyeluruh,” katanya. 

Beliau berkata, Malaysia sebagai negara menuju ke arah pemodenan pembinaan dan kelestarian pembangunan perlu menilai semula dasar pemberian lesen G1 agar selari dengan keperluan semasa industri.

“Peranan kontraktor kecil tidak boleh dipandang remeh kerana mereka sering menjadi barisan hadapan dalam pelaksanaan projek asas luar bandar dan komuniti setempat. 

“Akhirnya, pembinaan negara bukan sekadar tentang konkrit dan keluli, tetapi tentang keupayaan rakyat meneraju pembangunan dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya.

Ketika ini, terdapat 138,286 kontraktor berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu, G1 paling ramai membabitkan 68,608 orang, G2 (23,729), G3 (20,195), G4 (5,999), G5 (7,483), G6 (1,955) dan 10,317 gred G7 yang mana angkanya berubah daripada masa ke semasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN