30 tahun sara keluarga dengan umpun-umpun

30 tahun sara keluarga dengan umpun-umpun

NORHISHAM Abd. Majid melayan seorang kaki pancing yang membeli umpun-umpun di gerainya di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka. -UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Siapa sangka dengan hanya menjual umpun-umpun yang menjadi umpan kegemaran kaki pancing, mampu menyara isteri dan tiga anak.

Norhisham Abd. Majid, 59, berkata, dia mula menjual umpun-umpun sejak 30 tahun lalu selepas beberapa pekerjaan dilakukannya tidak menjanjikan pendapatan lumayan.

“Dulu ramai cakap jual umpun-umpun tidak boleh sara keluarga tetapi saya tidak ambil peduli dan saya buktikan hingga kini hidup saya tidak pernah susah. Macam-macam kerja saya buat seperti kerja di hotel, kedai makan dan sebagainya, saya tidak mampu bertahan lama kerana saya tidak pandai.

“Akhirnya saya ambil keputusan jual umpan ikan dan syukur hingga hari ini, saya cukup dikenali dalam kalangan kaki pancing membeli umpun-umpun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norhisham berkata, pondok buruk berhampiran Balai Polis Pengkalan Balak di sini merupakan tempatnya mencari rezeki dengan menjual empat jenis umpun-umpun iaitu jangkau, ruat, merah atau beting dan umpun pasir.

Katanya, umpun-umpun mendapat permintaan tinggi daripada kaki pancing khususnya pada cuti hujung minggu dan kelepasan am.

“Ini ditambah pula mereka yang datang bercuti di pantai peranginan Pengkalan Balak rata-ratanya membawa pancing,” katanya.

Norhisham berkata, umpun-umpun yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM10 sebungkus mampu menjana pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM3,000.

Katanya, umpun-umpun diperoleh dengan mencari sendiri di sepanjang pantai berlumpur dari Telok Gong hingga ke Akademi Laut Malaysia (Alam) di Kuala Sungai Baru.

“Umpun-umpun jangkau, ruat dan merah hanya boleh ditangkap ketika air surut di kawasan paya bakau terutama pada waktu awal pagi manakala umpun pasir sewaktu air pasang dan surut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN