10 kapal tentera laut negara ASEAN berlabuh di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

10 kapal tentera laut negara ASEAN berlabuh di Pulau Pinang

– IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga acara utama melibatkan tentera laut dari negara ASEAN akan diadakan pada 15 hingga 22 Ogos ini bersempena Kepengerusian ASEAN- Malaysia 2025.

Tiga acara tersebut ialah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN ( ANCM) ke-19, Eksesais Tentera laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga dan ASEAN Fleet REview (AFR) yang akan berlagsung di beberapa lokasi sekitar George Town dan Batu Feringgi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM Laksamana Muda Mohd. Fadzli Kamal Mohd. Mohaldin berkata, program akan bermula pada 15 Ogos 25 dengan ketibaan kapal-kapal tentera laut ASEAN di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

“Ini akan melibatkan kehadiran sebanyak tujuh buah kapal perang tentera laut ASEAN dan tiga buah kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan sekitar 1,600 warga kapal.

Pada 16 Ogos pula, akan berlangsung Majlis Pembukaan 3rd AMNEX dan permulaan fasa pelabuhan 3rd AMNEX untuk memberikan ruang serta peluang kepada semua pegawai operasi kapal untuk membincangkan serta memperhalusi perancangan latihan yang akan dilaksanakan sewaktu Fasa Laut AMNEX kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fadzil lagi, TLDM juga akan mengajurkan Naval Engineering Conference (NEC) pada hari tersebut.

“NEC merupakan satu forum ilmiah yang menghimpunkan jurutera tentera laut ASEAN untuk berkongsi ilmu mengenai perkembangan teknologi serta inovasi kejuruteraan dengan tema “Innovation and Technology Towards Improving Ship Survivability at Sea”.

“Di samping itu, satu sesi perkongsian berkaitan Exploring Aerospace Technology in Enhancing Maritime Safety and Security oleh wakil Universiti Sains Malaysia juga akan turut dilaksanakan sewaktu persidangan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Fadzil berkata, ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) dan Hari Buletin 4.0 akan dilaksanakan pada 17 Ogos di Esplanade, Padang Kota Lama.

“Ia akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang,Tun Ramli Ngah Talib,” jelasnya.

ANCP pula merupakan salah satu inisiatif TLDM bagi mempromosikan tradisi tentera laut kepada masyarakat umum.

Penganjuran ANCP di Pulau Pinang memiliki sejarah signifikan tersendiri kepada TLDM dan negara, di mana ia akan mengimbau sejarah sewaktu pelaksanaan International Royal Fleet Review (IRFR) pada 17 hingga 21 Mei 1990 yang melibatkan 59 buah kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.

“Aktiviti seperti perarakan kontinjen tentera laut ASEAN dan agensi setempat, persembahan kebudayaan, lintas hormat aset maritim, lintas hormat helikopter TLDM dan sebagainya telah dirancang sewaktu aktiviti ini,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN