10 emas jadi sasaran POLYCC di pentas FIRA 2025

10 emas jadi sasaran POLYCC di pentas FIRA 2025

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Robotik Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menyasarkan sepuluh pingat emas pada Kejohanan 30th FIRA RoboWorld Cup and Summit 2025 yang bakal berlangsung di Daegu, Korea Selatan.

Seramai 16 pelajar daripada empat institusi politeknik dipilih mewakili negara bersama lima pensyarah pengiring yang akan bertindak sebagai pasukan teknikal dan penasihat sepanjang kejohanan berlangsung.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penyertaan ini membuktikan kemampuan pelajar TVET untuk bersaing dan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Penyertaan ini memperkukuh agenda TVET negara dan menyemarakkan inovasi pelajar politeknik seiring Revolusi Industri 4.0.

“Kita juga akan memberikan insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pingat emas yang berjaya diraih oleh pasukan POLYCC sepanjang penyertaan mereka di Korea Selatan,” katanya sewaktu merasmikan majlis pelepasan pasukan di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) hari ini.

Penyertaan mereka melibatkan empat kategori iaitu HuroCup, Autonomous Car Challenge, Air-Drone Autonomous Racedan Air-Drone Emergency Service.

Pasukan POLYCC terdiri daripada pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD), dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang sebelum ini turut mencatat kejayaan membanggakan di edisi terdahulu kejohanan sama.

Dalam pada itu, satu sesi send-off dijadualkan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1 bagi menyuntik semangat serta sokongan moral sebelum pasukan berlepas ke Korea Selatan, dalam masa terdekat.

Kejohanan antarabangsa itu dijadual berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos ini dengan melibatkan penyertaan pelbagai negara dalam bidang robotik, teknologi autonomi dan kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN