Wujud kesalahan jenayah kes pegawai AADK pukul klien PUSPEN, Pahang

Wujud kesalahan jenayah kes pegawai AADK pukul klien PUSPEN, Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati wujud kesalahan jenayah melibatkan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hasil siasatan berhubung kejadian pukul dan kecederaan seorang klien ketika menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Negeri Pahang, pada tahun 2024.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan mendapati wujud keterangan dan bukti yang menjurus kepada kejadian pukul tersebut berlaku sehingga menyebabkan kecederaan terjadi ke atas klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat tersebut.

Katanya,  ini termasuk wujud kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN terhadap kejadian tersebut.

“Ia berdasarkan pemakluman berkenaan dengan kecederaan oleh klien tersebut dibuat dalam tempoh masa yang tidak munasabah kepada pihak Ibu Pejabat AADK.

“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan melibatkan (kes pukul) itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700.

“Ia dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek yang terlibat,” katanya hari ini.

EAIC berkata, bagi siasatan melibatkan unsur penyembunyian kes tersebut, ia disyorkan merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK untuk syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit.

Katanya, ia sebagaimana tertakluk di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama.

“EAIC mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dibuat di dalam kawasan PUSPEN bagi memastikan keselamatan klien yang menjalani pemulihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN