BESUT: Seorang warga Perancis berazam untuk lebih mendekatkan diri kepada Islam setelah mengalami momen penuh kesedaran selepas menziarahi pusara Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini.
Allahyarham Nurly Sahirah adalah antara 15 pelajar yang terkorban dalam tragedi bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, bulan lalu.
Bapa Allahyarham, Azman Mohamad, 63, berkata, luahan hati Muhammad Aris yang merupakan seorang wartawan televisyen dari Perancis itu disampaikan kepadanya selepas lelaki tersebut bersama adik perempuannya berkunjung ke rumahnya, kelmarin.
“Muhammad Aris kebetulan datang berjumpa Fatimah (adiknya) di Kuala Lumpur sebelum ke Duyong, Kuala Terengganu dan mengambil kesempatan menziarahi pusara arwah Nurly Sahirah dan keluarga kami.
“Katanya, sejak mendengar berita tragedi itu, mereka menyimpan hasrat untuk datang sendiri, merasai keadaan di sini dan kami amat berbesar hati menyambut kehadiran mereka berdua,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Azman berkata, Muhammad Aris ada berkongsi pengalaman mencium haruman ketika berada di pusara arwah yang mana mereka sekeluarga belum pernah lagi menghidu bau seperti itu.
Katanya, walaupun telah hampir dua bulan tragedi menimpa anaknya, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi pusara arwah setiap hari.
Sementara itu, tular video berdurasi dua minit empat saat sebelum ini, Muhammad Aris dan Fatimah dilihat meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menziarahi pusara Allahyarham Nurly Sahirah .
Menerusi video terbabit, Muhammad Aris memberitahu terinspirasi dengan kisah Nurly Sahirah dan berazam untuk menamatkan bacaan al-Quran apabila pulang ke Perancis nanti.
“Saya seorang Muslim, saya datang kerana ingin mendekatkan diri dengan orang yang mencintai Allah SWT. Allahyarham yang menyebabkan saya semakin kenal Islam.
“Sekarang saya belum khatam al-Quran, tetapi selepas balik nanti saya akan usaha untuk tamatkan. Saya percaya apa yang saya alami di sini menunjukkan kebesaran Allah,” katanya. – UTUSAN










