PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Sharifah Sakinah, Cyril Kongo, mencuri perhatian apabila gelagat lucunya yang dirakam ketika mengunjungi kediaman kakak iparnya, Sharifah Shahira tular di media sosial.
Telatah pelukis kelahiran Perancis itu dikongsikan menerusi video berdurasi 30 saat yang dimuat naik di Instagram penyampai radio itu, baru-baru ini.
Tambah mencuit hati adalah penampilan dan gaya bersahaja Cyril yang dikatakan saling tak tumpah seperti penyanyi Rock legenda, Datuk Awie, sekaligus menarik lebih 170,000 tontonan video tersebut.
“Aku sahajakah yang nampak macam Datuk Awie tadi. Ingatkan Awie tadi.
“Masuk air juga macam si Kinah (Sharifah Sakinah),” tulis netizen di ruangan komen.
Rata-rata warganet terhibur dengan kelakuan Cyril yang ceria dan bersahaja serta tidak kekok bergaul dengan keluarga selebriti tersebut.
Sharifah Sakinah yang sebelum ini merahsiakan identiti suaminya kebelakangan ini terbuka berkongsi kehidupan berkeluarga sejak mendirikan rumah tangga kali kedua.
Terdahulu, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 2023 selepas perkenalan singkat di luar negara. – UTUSAN