KOTA BHARU: Pembahagian kerusi melibatkan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 masih dalam rundingan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, rundingan masih berjalan memandangkan landskap politik di negeri berkenaan agak rumit dengan kehadiran pelbagai parti dan gabungan.
Katanya, Amanah bukan pemain utama di Sabah, justeru parti itu dijangka hanya bertanding antara satu hingga tiga kerusi daripada keseluruhan 33 kerusi yang ada.
“Proses rundingan belum selesai memandangkan keadaan politik tempatan di Sabah agak kompleks kerana terlalu banyak parti dan kita sendiri tidak pasti siapa kawan dan siapa lawan.
“Paling banyak Amanah akan bertanding tiga kerusi dan paling minimum satu kerusi. Proses pemuktamadan dibuat pada saat-saat akhir nanti,” katanya selepas Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pusat Latihan Pertanian KADA di Melor, di sini hari ini.
Sementara itu, Khalid memberitahu, kes saman yang difailkannya terhadap pelakon dan pempengaruh, Rafidah Ibrahim berhubung isu tanah di Kampung Baru masih berjalan.
Katanya, Rafidah selaku defendan perlu mengemukakan jawapan terhadap saman tersebut selewat-lewatnya pada 14 Oktober ini sebelum pihak plaintif memberi maklum balas balas sehingga 29 Oktober ini. – UTUSAN










