KUALA LUMPUR: Kes kanser baharu yang dilaporkan pada 2023 berlaku penurunan sebanyak 38,814 kes berbanding 40,570 kes pada 2022, berdasarkan Laporan Registri Kanser Kebangsaan (NCR), Institut Kanser Negara bagi tempoh dua tahun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu adalah hasil pelbagai pihak kementerian untuk mengurangkan jumlah pesakit kanser di negara ini.
“Antaranya, Pelan Strategik Nasional bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025 yang telah tamat, Pelan Strategik Nasional bagi Kanser Kolorektal 2021-2025, Pelan Tindakan Mengeliminasi Kanser Serviks 2021-2030 serta Garis Panduan Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan di Fasiliti Kesihatan Primer 2024.
“Langkah utama yang diambil termasuk mempromosi gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidak merokok dan pengambilan alkohol. Selain itu, Program Imunisasi HPV yang bermula sejak 2010 diteruskan sebagai usaha mencegah kanser serviks,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Mutallib (PN-Maran) mengenai langkah KKM mengurangkan pertambahan pesakit kanser dan bilangan pesakit kanser di negara ini.
Dzulkefly berkata, KKM juga mengutamakan pencegahan sekunder melalui aktiviti saringan kanser kolorektal menggunakan ujian Fecal Occult Blood Test (FOBT), dengan sasaran sebanyak 77,158 saringan pada 2024, serta saringan kanser payudara yang melibatkan pemeriksaan klinikal payudara dan ujian mammogram.
“Sehingga kini, seramai 857,722 wanita berumur 30 tahun ke atas telah menjalani pemeriksaan klinikal payudara di klinik kesihatan dan klinik desa seluruh negara pada tahun lalu.
“Bagi tahun ini, KKM akan menganjurkan Bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan tema ‘Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa’ bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan pengesanan awal dan penjagaan kesihatan payudara,” katanya.
Katanya, KKM juga menerajui inisiatif komprehensif berkaitan pencegahan, saringan dan kawalan kanser paru-paru melalui Inisiatif Kesihatan Paru-Paru.
Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 410,664 wanita berumur 30 hingga 65 tahun telah disaring menggunakan ujian Pepsimia dan HPV.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, lima kanser utama wanita adalah payudara, kolorektal, paru-paru, korpus uteri dan ovari, manakala lelaki pula iaitu kolorektal, paru-paru, prostat, hati dan limfoma.










