Wang simpanan, KWSP suri rumah lesap

Wang simpanan, KWSP suri rumah lesap

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM165,201 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 58 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier.

“Suspek memaklumkan kononnya terdapat bungkusan mengandungi buku cek dan token emas atas nama mangsa. Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bernama ‘Lee’

“Suspek telah menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat panik dan takut, mangsa membuat beberapa pindahan wang untuk tujuan siasatan dan dijanjikan wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai, namun setelah membuat 26 transaksi ke dalam empat akaun berbeza antara 15 hingga 18 Julai dengan jumlah keseluruhan RM165,201, wang yang dijanjikan tidak dikembalikan.

“Mangsa difahamkan membuat transaksi terlibat menggunakan wang simpanan peribadi serta pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Setelah wang dipindahkan, mangsa diminta untuk melakukan pindahan tambahan, namun wang yang dijanjikan untuk dipulangkan masih belum diterima. Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudiannya telah membuat laporan di Balai Polis Larkin, kelmarin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN