KUALA LUMPUR: Wang tunai palsu berjumlah AS$400,000 (RM1.67 juta) antara puluhan ribu barangan kes jenayah yang dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, wang palsu itu merupakan rampasan kes penipuan pertukaran mata wang membabitkan sekumpulan warga asing pada tahun lalu.
“Kes ini melibatkan sindiket ‘black money’ yang menawarkan penukaran ringgit kepada dolar Amerika Syarikat.
Kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah selesai dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun tiga bulan ke atas suspek sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Brickfields, hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhannya sebanyak 124 kertas siasatan dilupuskan, melibatkan nilai anggaran lebih RM721,239 bagi tempoh rampasan dari 2017 hingga tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 108 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membabitkan nilai RM630,565, manakala 16 kertas siasatan JSJK melibatkan RM90,674,” katanya.
Antara barang kes dilupuskan termasuk telefon bimbit, komputer, komputer riba, dokumen, cakera padat video (VCD) serta barangan berkaitan premis judi, pusat urut haram, pelacuran, buli siber dan penjualan arak tanpa lesen.
Turut hadir memantau proses pelupusan ialah pihak Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar yang terlibat khususnya bagi barang kes kontraban tidak bercukai dan sisa elektronik (e-waste).
Beliau berkata, langkah pelupusan dijalankan bagi mengurangkan risiko kehilangan, penyalahgunaan dan bebanan penyimpanan barang kes dalam tempoh lama.
“Pelupusan dibuat secara sistematik terutama membabitkan peranti judi dalam talian yang dikategorikan sebagai sisa elektronik,” katanya.
Majlis pelupusan disempurnakan bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Tuan Amri dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Tuan Shamsuddin. – UTUSAN










