RAUB: “Tiga hari sebelum dia pergi, saya lihat seluruh tubuhnya bercahaya putih semasa membaca al-Quran… bukan mimpi, bukan bayangan, cahaya sebenar yang menenangkan hati saya.”
Itulah kata-kata menyentuh hati Puziah Musa, 57, balu kepada Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, imam Masjid Felda Lembah Klau yang meninggal dunia ketika mengimamkan solat Jumaat, minggu lalu.
Menurutnya, sejak 40 tahun mereka hidup bersama, tidak pernah sekali pun dia melihat tubuh suaminya bercahaya seperti malam itu ketika arwah sedang mengaji di kerusi kayu buruk di dapur rumah.
“Malam itu dia baca ayat-ayat al-Quran seperti biasa… tetapi wajahnya tenang sangat dan sekeliling tubuhnya nampak bercahaya putih.
“Saya tergamam. Dalam hati saya kata, ‘Ya Allah… mungkin dah sampai masa dia’,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Felda Lembah Klau di sini.
Puziah berkata, seminggu sebelum hari Jumaat itu, arwah suaminya tiba-tiba berubah, tidak lagi ceria seperti selalu, tidak bergurau senda seperti kebiasaannya bersama cucu-cucu, malah lebih banyak mendiamkan diri.
“Dia tak mahu makan banyak, hanya duduk termenung, mengaji dan solat. Rumah pun rasa sunyi. Seolah-olah dia sedang bersedia… tapi kami tak tahu, itu petanda dia akan dijemput ilahi,” katanya sambil mengelap air mata.
Lebih menyentuh hati, malam sebelum solat Jumaat itu, arwah yang uzur dan sudah dua minggu tidak menjadi imam.
Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultanah Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka, semalam.
Baginda menzahirkan rasa hiba atas pemergian seorang imam dalam keadaan mulia yang jarang berlaku pada zaman ini.
“Beta amat tersentuh apabila dimaklumkan beliau pergi dalam keadaan sujud. Ini bukan kematian biasa… ini kemuliaan yang tinggi di sisi Allah. Moga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang soleh,” titah baginda.
Tunku Azizah pula turut menyampaikan sumbangan peribadi serta meninjau ruang dapur tempat Allahyarham sering membaca al-Quran.
“Tempat itu sekarang jadi saksi. Di situlah seorang imam dan suami yang taat mengisi sisa usianya dengan al-Quran,” titah baginda sambil menasihati keluarga supaya meneruskan amal baik arwah. – UTUSAN










