PETALING JAYA: Selebriti, Uyaina Arshad, mengakhiri perjalanannya selama sembilan tahun sebagai pengacara program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI).
Menurut Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, keputusan itu diambil bukan sebab bertikam lidah atau sengketa, tapi sudah masanya dirinya mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya yang memilih untuk pergi. Tak ada sengketa, tak ada salah faham. WHI adalah rumah saya dan pasukan WHI adalah keluarga saya.
“Saya sayang program ini sama seperti sayangnya saya kepada setiap individu yang menjayakan program ini.
“Kalau ada yang tertanya kenapa, jawapannya cuma satu, kerana sudah tiba masanya.
“Bukan mudah untuk buat keputusan ini, tapi saya rasa dah tiba masanya untuk Uyaina Arshad mengorak langkah menuju sesuatu yang baru,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, Uyaina turut mengucapkan terima kasih kepada pihak produksi kerana mempercayai bakatnya mengemudi WHI hampir sedekad.
“Alhamdullilah. Pencapaian terbesar saya adalah diberi kepercayaan tahun demi tahun untuk mengemudi sebuah program sehebat WHI selama sembilan tahun.
“Semua ini bukanlah satu tempoh yang singkat. MashaaAllah. Ia sesuatu yang saya banggakan, belajar menyusun setiap kata-kata. Menjaga sensitiviti. Menghidupkan suasana.
“Paling penting, menghiburkan dan menyampaikan ilmu sebaiknya kepada penonton,” jelasnya.
Terdahulu, Uyaina memulakan perkhidmatan sebagai pengacara WHI pada 8 September 2016. – UTUSAN