ALOR GAJAH: Kekalahan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan disebabkan defisit kepercayaan rakyat, sebaliknya berpunca daripada impak pengundi muda berusia 18 tahun yang boleh mengundi secara automatik.
Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keadaan itu menyebabkan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahab tewas kepada Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan majoriti 4,411 undi.
Beliau berkata, kini jentera parti cukup bersedia untuk menambat hati pengundi muda demi merampas kembali kerusi berkenaan.
“Sekarang kita cukup bersedia terutama jentera Puteri yang telah berjaya menambat wanita-wanita muda dan Pergerakan Pemuda pula perlu bekerja keras untuk meraih sokongan lebih kukuh.
“Kali ini pembangkang tidak mungkin boleh menang semula kerusi Parlimen Masjid Tanah kerana rakyat kini lebih yakin dengan UMNO dan BN kerana dari timur sampai barat parti keramat telah membuktikan.
“Saya juga minta semua ahli parti, akar umbi terus setia dengan perjuangan parti bukan setakat menghadapi PRU16 tetapi juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti,” katanya sewaktu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di A’Famosa Resort di sini, hari ini.
Ab. Rauf berkata, wakil rakyat UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Lendu, Taboh Naning dan Kuala Linggi telah menyantuni rakyat Masjid Tanah termasuk memudahkan segala urusan seperti penyaluran bantuan.
Katanya, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang bermula di DUN Kuala Linggi membuktikan pemimpin parti turun padang menyelesaikan masalah rakyat tanpa perlu menunggu kempen pilihan raya.
“Jadi saya harap dalam PRU16 nanti kita rampas semula kerusi Parlimen Masjid Tanah serta mengekalkan penguasaan memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka,” katanya. – UTUSAN










