Trak tentera masuk tasik, tiga anggota selamat - Utusan Malaysia

Trak tentera masuk tasik, tiga anggota selamat

KEADAAN trak Handalan milik Batalion Ke-9 RAMD yang terjunam dalam tasik di Kem Sri Banding, Gerik semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Tiga anggota tentera terselamat selepas trak Handalan milik Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para terjunam ke dalam tasik di kawasan jeti bot Markas Taktikal Kem Sri Banding, di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak tentera, trak tiga tan itu dipandu ke lokasi untuk penugasan mengambil anggota.

Katanya, dalam kejadian pada pukul 2.50 petang itu, brek trak berkenaan tidak berfungsi dengan baik menyebabkan kenderaan tersebut gagal berhenti lalu memasuki pinggir tasik.

“Kenderaan berkenaan dinaiki dua anggota daripada 9 RAMD Para dan seorang daripada 10 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Para.

“Ketiga-tiga mereka bagaimanapun sempat keluar dari trak untuk menyelamatkan diri sebelum kenderaan tersebut tenggelam ke dalam tasik,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat, tiada peralatan terkawal mahupun senjata tenggelam bersama kenderaan berkenaan.

Katanya, pasukan 15 RAMD telah memohon Kembalik daripada kem 2 woksyop Ipoh untuk digunakan bagi menarik kenderaan tersebut.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN