PETALING JAYA: Kedudukan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas dijangka tidak akan dicabar dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas 2025 yang dijadual berlangsung di Kedah, September ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun Perlembagaan parti membenarkan semua jawatan termasuk Presiden dipertandingkan, tradisi dalam Pas menunjukkan kesetiaan dan penghormatan yang tinggi terhadap kepemimpinan tertinggi parti.
“Saya jangka jawatan Presiden tiada yang mencabarnya. Dalam konteks Perlembagaan parti, ia terbuka untuk dipertandingkan sebagaimana juga jawatan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Pas mempunyai tradisi kestabilan dalam jawatan tertinggi apabila pemimpin utama parti kekal memegang jawatan hingga akhir hayat.
Sejarah Pas menyaksikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor memegang jawatan Presiden sehingga beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002, manakala Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menjadi Mursyidul Am sehingga ke akhir hayatnya pada 2015.
Muktamar Pas 2025 yang bakal berlangsung di Kedah dijangka menjadi tumpuan, bukan sahaja kerana isu-isu dalaman parti, tetapi juga menjelang landskap politik negara yang semakin hangat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Disoal keadaan kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mungkin memberi halangan untuk beliau terus kekal, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin Ahli Parlimen Marang tersebut masih mampu menjalankan tugas.
“Saya jangka Presiden akan kekal, beliau masih mampu menjalankan tugas seperti biasa,” katanya. – UTUSAN