SHAH ALAM: Geran Tahun Melawat Selangor 2025 (GTMS2025) secara rasminya telah dibuka, bagi menyokong dan memperkasa penganjuran program serta acara berkaitan pelancongan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Tourism Selangor dalam satu kenyataan memberitu, geran itu dibuka untuk permohonan bermula 1 Julai hingga 31 Oktober 2025, geran ini menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300,000 yang akan disalurkan kepada inisiatif pelancongan terpilih di seluruh negeri.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Tourism Selangor dalam menggalakkan kreativiti dan kerjasama bagi mempromosikan kepelbagaian tawaran elancongan di Selangor.
GTMS2025 dijangka memberi manfaat kepada 30 penerima terpilih di bawah tiga kategori geran iaitu Geran Discover Selangor bernilai RM10,000, Geran Splendid Selangor bernilai RM20,000 dan Geran Surprising Selangor bernilai RM30,000.
Permohonan dibuka kepada pelbagai entiti termasuk organisasi atau syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak menerima dana promosi kerajaan, anak syarikat di bawah kerajaan negeri, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menerusi geran ini, Tourism Selangor berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai pihak berkepentingan untuk turut serta dalam agenda pelancongan negeri, terutamanya dalam usaha menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan terulung.
Dengan landskap pelancongan Selangor yang semakin aktif dan berimpak tinggi, khususnya dalam penganjuran program-program pelancongan berskala besar, Tourism Selangor yakin separuh kedua tahun 2025 akan menyaksikan lebih banyak kerjasama strategik yang kukuh di seluruh negeri.
Objektif GTMS2025 juga selari dengan matlamat utama Tahun Melawat Selangor 2025, termasuk meningkatkan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa, mempromosikan produk dan destinasi pelancongan tempatan, serta merangsang ekonomi setempat melalui penglibatan komuniti dalam sektor pelancongan.
Pelancaran GTMS2025 dijangka membuka peluang yang bermakna bukan sahaja kepada pemain industri utama tetapi juga kepada komuniti, sekali gus membantu mewujudkan limpahan ekonomi serta meningkatkan standard perkhidmatan dan pengalaman pelancongan secara menyeluruh di Selangor.
Inisiatif ini turut menyokong sasaran kempen untuk menarik 8 juta pelancong, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil negeri dan pembangunan pelancongan lestari.
Pemohon yang berminat boleh mengemukakan cadangan dan mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi geran di https://visitselangor2025.my/grants/. – UTUSAN