Tugas Ballard tamat hujung bulan

Tugas Ballard tamat hujung bulan

ROBERT BALLARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) berkemungkinan tidak mendapatkan khidmat pengarah teknikal yang baharu bagi menggantikan Robert Ballard walaupun Sukan SEA Thailand akan berlangsung akhir tahun ini.

Pengurus Besar MA, Nurhayati Karim berkata, buat masa ini badan induk tersebut tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menggantikan Ballard atau sebaliknya.

“Buat masa sekarang, MA belum ada keputusan atau perancangan untuk mencari mana-mana individu bagi menggantikan Robert Ballard. Kita lihat dahulu macam mana. Selepas 1 Ogos kita tiada pengarah teknikal tapi selepas daripada itu kita belum tahu lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, MA menerusi satu kenyataan memberitahu, kontrak Pengarah Teknikal MA, Ballard yang akan tamat pada hujung bulan ini tidak akan disambung ekoran faktor kewangan yang dihadapi oleh badan induk itu.

“MA ingin memaklumkan bahawa khidmat Pengarah Teknikal, Robert Ballard tidak akan disambung selepas tamat kontrak dia pada 31 Julai ini disebabkan oleh kekangan dana akibat kurang peruntukan daripada kerajaan dan penajaan swasta.

“Robert Ballard telah bersama MA sejak 2023 dan telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam pembangunan dan peningkatan prestasi atlet negara sepanjang tempoh dua tahun ini,” kata MA dalam kenyataan tersebut.

Berbaki kurang daripada enam bulan menuju Sukan SEA Thailand yang akan diadakan pada 9 hingga 20 Disember ini pastinya ia memberi kesan kepada persiapan kem olahraga negara.

Sebagai rekod, Ballard pernah bertugas sebagai Pengarah Teknikal MA pada Februari 2014 namun membuat keputusan untuk meninggalkan jawatannya itu pada 8 Disember 2015 sebelum kembali menggalas peranan sama bermula Ogos 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN