Tengku Zafrul, Chong Wei antara penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

Tengku Zafrul, Chong Wei antara penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (kiri) dan Lee Chong Wei antara 150 penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang sempena Hari Ulang Tahun Ke-84, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz antara empat individu yang mendahului senarai penerima darjah kebesaran sempena Hari Ulang Tahun Ke-84, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, esok.

Tiga individu lain ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.

Kesemua mereka akan menerima pingat Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pada masa yang sama, seramai 17 individu lagi akan menerima anugerah Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Antaranya termasuk jaguh badminton negara yang juga Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara, Datuk Lee Chong Wei; Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long; Pengasas Kumpulan UWC Berhad, Datuk Ng Chai Eng dan lain-lain.

Sebelas penerima pula akan diberi anugerah Darjah Yang Mulia Pangku Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk termasuk Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Norazmi Mohd. Narawi.

Dalam pada itu, 118 individu disenaraikan sebagai penerima bagi Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang turut membawa gelaran Datuk termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Wan Nor Sakina Saad; Ketua Hakim Syarie negeri, Za’im Md Yudin serta Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Kenneth Yoong Ken Chinson St James.

Selain itu, seramai 85 individu akan menerima Darjah Johan Negeri (DJN) manakala 43 penerima menerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN).

Penganugerahan turut melibatkan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dengan 222 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dengan 371 penerima dan lain-lain pingat kehormatan, 641 penerima.

Menurut Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, istiadat penganugerahan itu akan berlangsung bermula esok sehingga 30 Julai ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, istiadat berkenaan membabitkan seramai 1,530 penerima, termasuk 150 penerima Darjah Kebesaran serta 1,380 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN