Rumah terbuka TYT, kerajaan Pulau Pinang terima sambutan hangat

Rumah terbuka TYT, kerajaan Pulau Pinang terima sambutan hangat

SEBAHAGIAN daripada ribuan pengunjung yang memenuhi Dewan Milenium Kepala Batas sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan secara bersama oleh pejabat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri di Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Ribuan pengunjung memenuhi Dewan Milenium Kepala Batas di sini sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan secara bersama oleh pejabat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri.

Selain Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor, hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta beberapa pemimpin negeri yang lain.

Terdahulu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, sambutan Aidilfitri seperti majlis rumah terbuka pada setiap tahun itu terbukti membawa makna yang signifikan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada seluruh masyarakat majmuk di negeri ini.

Katanya, hari raya merupakan hari yang ditunggu-tunggu untuk semua rakyat untuk berkongsi segala kegembiraan dan kedamaian dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Maka, di kesempatan ini juga, saya ingin mengajak semua pengunjung yang hadir pada hari ini (majlis rumah terbuka) untuk turut sama menyertai Program MADANI Rakyat Zon Utara yang akan berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mei depan.

“Program ini adalah jalinan kerjasama antara Kerajaan negeri Pulau Pinang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) selaku kementerian peneraju,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, kerajaan negeri sentiasa menjaga kehormatan institusi agama Islam selain memastikan kesejahteraan dan kesepaduan dalam masyarakat secara menyeluruh.

Katanya, ini termasuk menyediakan pelbagai inisiatif serta perkhidmatan untuk memenuhi keperluan umat Islam dalam aspek pendidikan, ekonomi serta sosial.

Pada masa yang sama, kata Kon Yeow, kerajaan negeri juga memberi penekanan yang tinggi terhadap pemeliharaan serta pemuliharaan institusi-institusi keagamaan seperti masjid, surau dan sekolah Islam.

“Sebagai contoh, sebanyak RM10.18 juta telah diperuntukkan pada tahun ini bagi tujuan pembinaan, penambahbaikan dan ubah suai masjid serta surau di seluruh Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, masjid dan surau yang dipulihkan tidak hanya menjadi tempat ibadah yang lebih selesa serta kondusif, malah juga sebagai pusat kegiatan sosial dan keagamaan yang mengukuhkan kariah atau komuniti tempatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung rumah terbuka tersebut, Rachel Lim, 25, ketika ditemui berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menghadiri acara tahunan itu bagi merasakan sendiri kemeriahan Aidilfitri.

“Seronok apabila dapat menjamu selera dengan pelbagai juadah Melayu. Inilah keunikan menjadi rakyat Malaysia yang tidak ada di negara lain,” kata anak jati Johor itu yang kini menetap di Pulau Pinang sejak dua tahun yang lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×