TAMPIN: Tidak mahu terus patah semangat ekoran penyakit barah usus tahap empat yang dihadapi, bekas pelaut syarikat antarabangsa, Mohd. Azim Abdul Nazar, 39, kini mencari pendapatan dengan menawarkan khidmat menyediakan resume kerja hanya dari rumah.
Katanya, sebelum ini dia menyediakan perkhidmatan itu secara sambilan sahaja kerana keterbatasan kerja hakikinya namun selepas diuji sakit, dia kini melakukannya secara sepenuh masa.
“Dengan keadaan begini, doktor telah menasihatkan saya untuk tidak bekerja berat. Rutin rawatan kemoterapi setiap tiga hingga empat minggu sekali menjadikan saya tidak boleh bekerja tetap di luar.
“Apabila kimoterapi, minggu pertama saya akan lemah sedikit. Mana ada majikan yang mahu menggajikan pekerja macam saya. Bagaimanapun, Alhamdulillah, rakan-rakan pelaut yang lain banyak membantu saya dengan memberikan cadangan tentang saya kepada individu yang berminat bagi khidmat ini,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Indah, di sini.
Ujar Mohd Azim lagi, dia sebelum ini pernah memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM15,000 namun, kini pendapatan berkenaan terhenti apabila dia sudah tidak bekerja April lalu.
“Semasa disahkan sakit, saya bekerja di Jepun dan majikan saya telah pun menanggung segala perbelanjaan perubatan termasuk penerbangan pulang ke negara ini serta rawatan susulan di hospital swasta,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, dia kini perlu bergantung dengan beg stoma yang mana keadaan itu menyebabkan komitmen bulanan yang cuba dihadkan dan masih agak membebankan.
“Isteri saya, Nor Suriani Md Said, 41, pun sudah mula bekerja kembali sebagai pembantu kantin asrama disebabkan keadaan kesihatan saya ini,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia enam hingga 15 tahun.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun bank Hong Leong Bank 04101012728 atas nama Mohd. Azim Abdul Nazar.-UTUSAN










