Taufan Wipha punca penerbangan dari Hong Kong dibatalkan - Utusan Malaysia

Taufan Wipha punca penerbangan dari Hong Kong dibatalkan

Pemakluman jadual penerbangan yang dibatalkan sepanjang hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Penerbangan pulang ke tanah air melalui Hong Kong yang sepatutnya hanya mengambil masa kira-kira empat jam kini menjadi lebih 48 jam selepas hampir semua jadual penerbangan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) dibatalkan akibat Taufan Tropika Wipha.

Memuatkan artikel berkaitan…

Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan isyarat taufan nombor 10 (T10) pada 9.20 pagi Ahad, dan memberi amaran bahawa Taufan Wipha mampu menimbulkan ancaman besar kepada kawasan sekitar mulai tengah hari ini.

Amaran T10 merupakan amaran tahap tertinggi, dengan kelajuan purata mampu mencapai 118 kilometer per jam atau lebih.

Kali terakhir amaran T10 dikeluarkan adalah pada tahun 2023 iaitu membabitkan Taufan Super Saola dengan ribut yang menyebabkan 86 kecederaan, tanah runtuh dan beribu-ribu pokok tumbang.

Terdahulu, pada jam 12.20 tengah malam tadi, badan sama mengeluarkan amaran taufan T8 buat kali pertama pada tahun ini.

Susulan amaran dikeluarkan itu lebih 500 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dibatalkan buat sementara waktu sehingga keadaan membenarkan.

Kebanyakan syarikat penerbangan termasuk yang dijadualkan membuat penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga menghantar notifikasi kepada penumpang mengenai pembatalan perjalanan.

Alasan pembatalan penerbangan yang dimaklumkan oleh syarikat penerbangan adalah disebabkan keadaan cuaca buruk.

Akibat pembatalan itu, ramai penumpang terkandas di HKIA kerana dijangka tiada syarikat penerbangan akan beroperasi bermula jam 5 pagi tadi sehingga jam 6 petang ini.

Difahamkan, terdapat penumpang yang sudah diberikan jadual baharu penerbangan iaitu seawal tengah hari esok.

Setakat jam 10 pagi ini, keadaan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong masih diselubungi hujan lebat dan angin kencang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini