KANGAR: Dangai, kuih lempiang, goyang serta karas termasuk sate mentarang yang unik antara lebih 80 menu tradisi yang disediakan bersempena Pesta Makanan Tradisional Perlis (MANTAPs) di Taman Buah-Buahan Eksotik, Sungai Batu Pahat di sini, semalam.
Pesta yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai anjuran Jabatan Pertanian negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) itu menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang ada antaranya teruja pertama kali melihat dan merasai sendiri keenakan makanan tradisi tersebut.
Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, pesta berlangsung meriah itu merupakan kali pertama diadakan dan bertujuan memperkenal, mempromosi serta memelihara warisan makanan tradisi di negeri ini.
Katanya, selain makanan tradisi, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti persembahan kebudayaan, pertandingan memasak makanan tradisional, sukan rakyat, acara larian Wang Gunung Trail Run 3.0 dan pelbagai lagi.
Selain itu, katanya, terdapat 56 gerai jualan makanan, kraftangan dan barangan keperluan disediakan bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung.
Katanya, antara makanan tradisional lain yang menarik perhatian seperti rendang setoi, sayur manis rebung, emping nyoq, pek nga, peneram panas dan banyak lagi.
“Apabila kita memperkenalkan makanan tradisi ini, ada dalam kalangan pengunjung yang pertama kali melihat dan merasai sekali gus memberi keterujaan kepada mereka selain kita mahu masyarakat mengenali makanan tradisi.
“Selain itu, pesta ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan sosio-ekonomi usahawan tempatan melalui jualan produk makanan dan kraftangan. Sepanjang tiga hari, kita sasarkan lebih RM100,000 hasil jualan.
“Antara lain, ia juga bertujuan mempromosikan agro-pelancongan dan destinasi unik di Perlis seperti Taman Buah-Buahan Eksotik ini,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, pengurus Ghatah Siput Bakaq, Nusaibah Roslan,32, berkata, dia menyediakan pelbagai menu berasaskan mentarang di pesta berkenaan.
Katanya, antara paling unik ialah sate mentarang yang pertama kali diperkenalkan sekali gus menarik perhatian para pengunjung. – UTUSAN