Tamatkan fitnah dan tohmahan

Tamatkan fitnah dan tohmahan

ANWAR Ibrahim ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqal, Presint 14, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengumuman na­ma Ketua Hakim Negara baharu dan hakim atasan lain telah memadamkan polemik, keluh kesah, fitnah dan tohmahan yang dihadapi kerajaan sejak berminggu-minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan berkenaan dibuat melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Sidang Majlis Raja-Raja kali ini dengan sendirinya membuktikan bahawa pertamanya proses berjalan baik. Keduanya kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan Per­ka­ra 122B, ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini.

“Jadi saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan baik Majlis Raja-Raja yang diper­kenan oleh Yang di-Pertuan ­Agong padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini, berminggu-minggu dikecam dan difitnah,” katanya ditemui se­lepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, di sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia yang dikeluarkan tengah malam tadi Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh tidak pernah diusulkan bagi jawatan Ketua Hakim Negara.

Beliau turut mempersoalkan siapa sebenarnya yang mero­sakkan krisis badan kehakiman kerana beliau sendiri tidak pernah membuang mana-mana hakim dan tidak menghantar hakim ke tribunal.

Anwar menjelaskan, nama Ahmad Terrirudin yang me­rupakan Hakim Mahkamah Persekutuan tidak pernah dicalonkan sebagai Ketua Hakim Negara.

“Ya ada kononnya nama-nama ditonjolkan (nama yang dicalonkan Ketua Hakim Negara), saya boleh sebutlah Tan Sri Teri (Ahmad Terriruddin) yang juga bekas Peguam Negara.

“Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan, jadi dari mana sebaran itu,” katanya.

Anwar merakamkan tahniah kepada Wan Ahmad atas pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim atasan lain.

“Tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu dan juga Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

“Ini mandat dan insya-Allah mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.

Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.

Berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Anwar menyatakan, ke­sediaan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan UMNO berhubung isu tersebut.

Katanya perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan­nya, Datuk Seri Mohamad Hasan, malah bersedia memberi penjelasan jika perlu demi menjaga keharmonian politik negara.

Anwar bagaimanapun menegaskan isu berkenaan kini dalam perhatian mahkamah dan beliau tidak boleh mendahului proses undang-undang.

“Hal ini telah dan sedang dirujuk kepada mahkamah. Saya tidak boleh mendahului mahkamah dalam hal ini,” katanya.

Kelmarin, seramai 145 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menggesa kerajaan segera melaksanakan Titah Adendum yang didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah, seperti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Mereka mendesak agar tiada lagi alasan untuk menangguhkan pelaksanaannya.

Sementara itu, mengenai pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Anwar berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan dan kerajaan akan memberi pertimbangan sewajar­nya.

“Kita ikut proses. Ia masih terlalu awal dan kerajaan akan memberikan pertimbangan, sambil memastikan hubungan baik Malaysia-AS dipelihara,” katanya.

Sebelum ini, Jurucakap Ke­rajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan Malaysia berhak menerima atau menolak mana-mana calon diplomat yang dikemukakan negara asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN