Sultan Perak berangkat ke sambutan Hari Pahlawan - Utusan Malaysia

Sultan Perak berangkat ke sambutan Hari Pahlawan

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa perbarisan kawalan kehormatan pada sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. - UTUSANMUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2025 peringkat negeri yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan Exco kerajaan negeri; Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin; Laksamana Muda Datuk Abdul Halim Shaari yang mewakil Panglima Armada Barat dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohamad Rosli Abu Bakar.

Istiadat bermula dengan perarakan masuk panji dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pasukan pancaragam tersebut dipimpin oleh Leftenan Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dengan kekuatan 45 anggota.

Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawalan kehormatan itu diketuai Superintenden Mohd. Aster Mohamad dibantu Deputi Superintenden Ahmad Auzan Mohd. Noor manakala pegawai pembawa panji ialah Inspektor Mohd. Nor Syahid Shaharum.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Inspektor Adib Azimat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak diikuti deklamasi sajak berjudul ‘Darah Perwira Di Tanah Merdeka’ yang disampaikan oleh Leftenan Hadzeri Julai dari Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari IPK Perak.

Sebaik selesai, tiupan Rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat acara sambutan.

Perbarisan Hari Pahlawan melibatkan 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan antaranya dari PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara polis.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sempena tanggal tamatnya Darurat di Tanah Melayu iaitu pada 31 Julai 1960. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN