STI 100³ bantu tingkat minat pelajar dalam bidang sains

STI 100³ bantu tingkat minat pelajar dalam bidang sains

CHANG Lih Kang (kiri) bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (dua kiri) diberi penerangan ketika melawat reruai selepas majlis Peluncuran Program STI 100³ di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

8,804 saintis ditempatkan ke sekolah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Seramai 8,804 saintis telah turun padang secara serentak ke 8,804 buah sekolah di seluruh negara pada 7 Julai lalu, melaksanakan aktiviti STEM menerusi Program ‘STI 100 on the Power of Three’ (STI 100³). Program mega ini diadakan bersempena Majlis Peluncuran STI 1003 bertemakan ‘Saintis@Sekolah: Jom STI!’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, dengan misi menyemarakkan minat dan memperkukuh kemahiran murid dalam bidang sains, sekali gus menyemai semangat inovasi di peringkat akar umbi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, STI 100³ merupakan program yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bagi memastikan pendidikan sains tidak terhad pada buku teks sahaja.

Kata beliau, melalui program STI 100³, pelajar akan dapat memperkasa pengetahuan dan kemahiran mereka melalui pendekatan yang interaktif, kolaboratif dengan kehadiran serta bimbingan saintis.

Jelasnya, inisiatif berskala kebangsaan itu dilaksanakan secara berkala dan berterusan iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 100 hari setiap kitaran.

“Lebih istimewa, program STI 100³ mengoptimumkan kepakaran saintis tempatan daripada pelbagai latar belakang merangkumi agensi kerajaan, akademia, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turun padang sebagai mentor dan inspirasi kepada seluruh pelajar.

“Komitmen mereka meninggalkan makmal dan pejabat demi berkongsi ilmu secara langsung menjadikan program ini unik dalam usaha melahirkan generasi celik Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan berfikiran saintifik,” katanya.

Pada majlis itu, program STI 100³ menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sekali gus mencatat sejarah di dalam dunia pendidikan.

Dua pengiktirafan itu adalah mengenai penyertaan saintis terbesar dan kedua, penyertaan sekolah terbesar dalam program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, program STI 100³ yang dilaksanakan sejak September lalu sudah pun membuktikan keupayaannya sebagai inisiatif berimpak tinggi dan berkesan.

Katanya, dua kitaran awal program tersebut sudah berjaya menghimpunkan 150 saintis yang dipadankan dengan 150 sekolah di seluruh negara serta menghasilkan lebih 450 sesi aktiviti interaktif.

“Ini menandakan ia sudah memberi manfaat langsung kepada lebih 38,000 peserta termasuk murid, guru dan komuniti sekolah.

“Momentum ini diteruskan dalam kitaran satu 2025 yang kini sedang giat dilaksanakan melibatkan 83 saintis dan 83 buah sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM),” jelasnya.

Sementara itu, beliau  turut merakamkan penghargaan kepada 237 saintis, 237 sekolah dan 29 agensi penggerak serta penyelaras yang kekal komited dalam menjayakan pelaksanaan program ini di seluruh negara.

Tambahnya, beliau yakin bahawa program STI 100³ akan menjadi landasan kukuh dalam melahirkan bakat-bakat muda yang celik STI.

“Seterusnya memperkukuh usaha negara ke arah mencapai status ekonomi berteknologi tinggi menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN