Srikandi Sawah: Wanita Besi Jadi Nadi Sekuriti Makanan Negara

Srikandi Sawah: Wanita besi jadi nadi Sekuriti Makanan Negara

BERKAT usaha keras dan pengalaman, Norhamidah kini mengusahakan 100 ekar sawah padi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Dalam landskap pertanian negara yang sering dilihat dikuasai lelaki, muncul seorang wanita luar biasa yang mengubah persepsi dan membuktikan bahawa kecekalan dan komitmen tiada jantina. Siti Norhamidah Mohd Tohir, 41, bukan sekadar mengusahakan sawah, tetapi menjadi peneraju perubahan dalam komuniti pertanian tempatan.

Bermula daripada warisan keluarga petani, Norhamidah kini menguruskan lebih 100 ekar sawah di sekitar Sungai Besar dengan sokongan suami dan keluarga. Pengalaman lebih dua dekad dalam dunia bendang menjadikan beliau bukan sahaja seorang pesawah, tetapi juga seorang pengurus bendang, pemimpin komuniti dan inspirasi kepada ramai.

“Orang pernah kata kerja sawah bukan untuk wanita sebab panas, kotor dan berat. Tapi saya buktikan sebaliknya. Wanita pun mampu menjadi tulang belakang keterjaminan makanan negara,” kata beliau ketika ditemui.

PETANI WANITA, TANGGUNGJAWAB BESAR

Sebagai ibu kepada empat anak, Norhamidah mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerja ladang setiap hari. Rutin bermula seawal 7 pagi termasuk menyemak jadual penanaman, menyiram air, membaja dan mengurus pekerja di bendang. Meski tidak lagi melakukan kerja berat akibat masalah kesihatan, beliau terus komited dalam perancangan dan pemantauan operasi sawah.

“Saya tetap turun ke sawah. Kita perlu jaga hasil supaya berbaloi. Bila padi rosak, semuanya rugi,” tambahnya.

Beliau turut menyeru lebih ramai wanita dan belia menyertai sektor ini yang semakin moden, lestari dan menjanjikan pendapatan stabil jika diuruskan dengan baik.

BERNAS DAN KERAJAAN: RAKAN STRATEGIK PESAWAH 

Seperti ramai pesawah kecil, Norhamidah tidak menafikan bahawa kos pengeluaran semakin tinggi, racun, baja, minyak dan upah pekerja memberi tekanan besar kepada margin keuntungan.

Namun, beliau bersyukur kerana bantuan Kerajaan dan sokongan teknikal serta pembiayaan dari Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memainkan peranan penting dalam meringankan beban pesawah sepertinya.

“Alhamdulillah, ada subsidi racun, baja, benih dan bantuan tunai pesawah. Malah BERNAS turut beri pinjaman modal tanpa faedah dan bimbingan teknikal. Ini sangat membantu kelangsungan kami sebagai pengeluar makanan negara,” jelas beliau.

Program seperti SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diterajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama BERNAS membolehkan pesawah menikmati teknologi pertanian moden termasuk penggunaan dron untuk penyemburan, perkongsian jentera, sistem pengurusan ladang hinggalah pembelian hasil yang adil dan terjamin.

DASAR ‘SINGLE GATEKEEPER’: MENGAPA IA PENTING?

Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa dasar “single gatekeeper” dalam pengimportan beras melalui BERNAS adalah strategi penting dalam melindungi industri padi negara.

Di tengah ketidaktentuan pasaran global dan cuaca ekstrem, satu pintu kawalan kekal relevan bagi memastikan bekalan beras luar tidak menenggelamkan hasil tempatan, serta menjamin kelangsungan hidup pesawah.

“Kalau semua orang bebas import, siapa nak beli hasil kami? Dasar satu pintu ini penting untuk kawal pasaran dan pastikan pesawah tempatan terus mampu hidup,” ujar Norhamidah tegas.

BERNAS bukan sekadar pembeli hasil, ia juga pelindung kepada ekosistem industri, dengan tanggungjawab sosial termasuk pengurusan stokpenimbal, penyelarasan bekalan, dan pembangunan pesawah di bawah kerjasama kerajaan.

PERTANIAN IALAH MASA DEPAN, BUKAN PILIHAN TERAKHIR

Bagi Norhamidah, sektor pertanian perlu diberi tempat utama dalam dasar negara termasuk Bajet 2026. Beliau berharap lebih banyak peruntukan, infrastruktur dan insentif diberikan, termasuk pembaikan sistem pengairan dan pusat latihan demonstrasi ladang.

“Harap sangat kerajaan kawal harga barang penting seperti racun, baja dan minyak sebab kos makin tinggi. Sistem saliran pun perlu ditambah baik supaya bekalan air ke sawah lebih lancar. Kalau boleh, wujudkan juga lebih banyak tapak demonstrasi supaya petani boleh belajar terus cara kawal penyakit dan tingkatkan hasil tanaman yang baik,” katanya.

“Petani bukan kerja biasa. Ini kerja negara. Kalau tiada padi, tiadalah nasi. Harap suara kami terus diberi perhatian,” tambah beliau mengakhiri perbualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN