ALOR SETAR: Kos upah traktor membajak sawah, termasuk badai atau meratakan tanah, dijangka naik ekoran harga diesel RM3.92 seliter. Di Kedah, kos sekitar RM120 per relung (0.3 hektar) dengan tiga pusingan diperlukan setiap musim, menjadikan kos melebihi RM300 per relung.
Kenaikan bahan api memberi tekanan kepada pesawah, terutama petani kecil, kerana meningkatkan kos operasi tanpa sebarang peningkatan hasil atau insentif kerajaan, menjejaskan keuntungan mereka.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, buat masa ini kenaikan tersebut belum dirasai oleh petani, namun beberapa pengusaha traktor sudah mula membeli diesel pada harga baharu untuk kegunaan mereka.
“Kebanyakkan sawah di Kedah ketika ini dalam proses membajak setelah penuaian pada musim lalu diselesaikan, jadi kita jangkakan memang akan berlaku kenaikan kos yang perlu diserap petani berikutan upah perkhidmatan yang dijangka meningkat disebabkan harga diesel.
“Pada 2024, ketika harga diesel naik RM3.35 seliter pun para petani berdepan kenaikan kos lebih 55 peratus, jadi bayangkan dengan harga diesel yang menghampiri paras RM4 seliter sudah tentu akan berlaku lebih banyak kenaikan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, walaupun kerajaan menaikkan insentif pembajakan kepada RM160 per hektar bermula musim lalu, bantuan itu dijangka tidak mencukupi untuk menampung kos baharu pada musim ini sekiranya tiada langkah efektif diambil bagi menyerap kenaikan harga diesel.
Katanya, bayaran tunggakan insentif seperti yang diumumkan kerajaan juga masih belum dinikmati pesawah yang telah menanggung kos lebih tinggi sebelum bantuan dinaikkan.
“Dengan harga diesel semasa, insentif RM160 per hektar hanya dapat menampung kira-kira 10 peratus kenaikan kos perkhidmatan mengerjakan sawah,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Petani di kawasan MADA, Che Ani Mat Zain, berkata sekiranya harga diesel terus melonjak, upah mesin padi dan jentera jentuai pada hujung musim penanaman turut akan meningkat.
Kos menuai kini sekitar RM180 per relung, manakala pesawah yang menggunakan pam air diesel turut menghadapi kenaikan kos.
Kenaikan harga bahan api memberi impak besar kepada petani kecil, ditambah risiko cuaca dan penyakit yang mengurangkan hasil, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka. – UTUSAN










