Kemarau jejas pendapatan pesawah di Titi Gantung

Kemarau jejas pendapatan pesawah di Titi Gantung

PESAWAH menunjukkan keadaan sawah mereka yang kering disebabkan musim kemarau di Bota Kiri dekat Parit, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Pesawah di Titi Gantung, Bota Kiri dekat sini berdepan masalah bekalan air bagi tanaman padi mereka susulan cuaca panas berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.

Cuaca panas menyebabkan paras air Sungai Perak surut sehinggakan rumah pam di Bota Kiri tidak mampu mengairi keseluruhan kawasan sawah di sini.

Justeru, pesawah bimbang masalah itu berisiko menjejaskan hasil padi sekiranya kemarau berterusan.

Ketua Kelompok Blok 7 Sawah Bota Kiri/Teluk Kepayang, Ahmad Fudzi Ab. Jalil, 72, berkata, sebelum ini bekalan air dari Sungai Perak disalurkan terus ke bendang tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kemarau yang berlarutan sejak tiga bulan lalu kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesawah.

“Jika keadaan ini berterusan, pesawah akan menanggung kerugian besar kerana benih sudah dibeli dengan harga RM60 sekampit.

“Benih padi hanya boleh bertahan selama enam bulan, sedangkan kemarau sudah melebihi tiga bulan. Paras air sungai semakin cetek dan tanah sawah semakin kering.

“Kami berharap pihak berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi dapat melaksanakan pembenihan awan sekiranya kemarau ini berterusan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Bakeri Jalani, 66, berkata, situasi kekurangan air kali ini adalah yang paling teruk pernah dialami mereka.

“Kami bimbang tanah sawah akan merekah dan rosak, malah rumput sudah mula tumbuh.

“Sepatutnya air mula disalurkan ke sawah pada 2 Mac lalu bagi musim tanaman baharu, namun paras air Sungai Perak terlalu cetek untuk dipam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Abdul Rahman, 66, berkata, kebanyakan pesawah telah mengeluarkan modal bagi kerja-kerja awal seperti membajak, menyewa sawah, meracun dan membeli benih.

“Namun, musim penanaman baharu tidak dapat dimulakan akibat masalah bekalan air.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu kerana kami berdepan kerugian besar dan terpaksa menanggung hutang akibat kemarau panjang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN