SPRM geledah 28 syarikat terlibat penyeludupan besi buruk, e-Waste

SPRM geledah 28 syarikat terlibat penyeludupan besi buruk, e-Waste

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penggeledahan terhadap 28 syarikat yang disyaki terlibat sindiket penyeludupan besi buruk dan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste) haram di lima negeri sehingga menyebabkan negara kehilangan hasil lebih RM950 juta.

Kesemua syarikat itu digeledah hasil serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Multi Agency Task Force (MATF) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 14 Julai lalu.

Sumber berkata, siasatan masih berjalan dan seramai 32 orang sudah dirakam keterangan.

“Setakat ini belum ada individu yang ditahan namun siasatan masih berjalan,” katanya hari ini.

Sumber berkata, setakat ini jumlah keseluruhan pembekuan akaun dan penyitaan harta adalah RM332.5 juta.

“Ia membabitkan akaun bank RM149.5 juta, kereta (RM1.8 juta), rumah (RM15.5 juta), tanah (RM165 juta) dan jam tangan mewah berjumlah RM700,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

Sebelum ini, SPRM membongkar penyeludupan besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Susulan itu, ahli perniagaan bergelar Datuk Seri antara individu disiasat SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN